Thursday 5 January 2012

OH! MALUNYA..


          “Apa! putus tunang? malulah dengan orang sekeliling nanti” itulah ungkapan yang akan diungkapkan apabila terjadinya episod putus tunang. Masyarakat sekeliling akan bercakap-cakap apabila tahu ada mereka yang putus tunang. Putus tunang akan dianggap suatu perkara yang memalukan berbanding penceraian. Itulah hakikatnya masyarakat kita pada hari ini. Di dalam Islam pertunangan merupakan satu tempoh perkenalan sama ada orang yang bakal kita nikahi nanti betul-betul sesuai ataupun tidak. Jadi mengapa harus malu apabila berlakunya putus tunang sedangkan kalimah syukur yang harus diungkapkan kerana perpisahan itu bukan berlaku selepas perkahwinan.   
  
           Itulah hikmahnya apabila Islam tidak menggalakkan umatnya mengheboh-hebohkan pertunangan, ini kerana tunangan kita itu belum tentu jodoh kita yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. Tetapi sebaliknya yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita adalah, mengheboh-hebohkan pertunangan dan kadangkala majlis yang dibuat telah mencapai tahap pembaziran. Majlis yang sepatutnya mendapat berkat dan rahmat daripada Allah telah bertukar menjadi satu dosa dek kerana pembaziran. Maka apabila jodoh tidak panjang, maka wujud perasaan malu dan masyarakat sekeliling akan bercerita. Harus difikir kembali, siapa yang mengheboh-hebohkan hal terbabit, sedangkan jika laksanakan seperti apa yang Islam anjurkan maka tidak akan timbul hal-hal yang tidak diingini. 

            Punca pertama, sikap mengheboh-hebohkan dan yang paling parah ialah menjadikan lesen pertunangan sebagai lesen keluar berdua-duaan seperti suami isteri. Ramai yang menganggap bahawa melalui pertunangan, mereka bebas untuk keluar dan perbuatan tersebut tidak salah. Sedangkan jika difahami dengan betul, tunangan kita itu masih lagi dalam golongan ajnabi ataupun orang asing. Tunangan kita itu masih lagi bukan mahram dan tidak tergolong dalam kalangan kaum kerabat kita seperti ayah, abang, ibu, abang, kakak mahupun adik. Pertunangan itu hanyalah satu ikatan ‘tanda’ bahawa seseorang itu telah berpunya dan haram bagi orang lain untuk meminangnya. Jadi gunakanlah tempoh pertunangan itu untuk mengenali diri tunang kita itu sendiri dan juga kaum kerabatnya. 

            Persepsi kita bahawa dengan status bertunang itu kita boleh meng‘halal’kan apa yang dilarang di dalam Islam adalah salah sama sekali. Dengan itu, jadikan pertunangan sebagai tempoh yang sebaik-baiknya untuk mengenali pasangan ataupun bakal calon pendamping hidup kita. Dengan itu tidak akan timbul cerita malu dengan orang sekeliling apabila jodoh tidak kesampaian. Kita merancang, Allah juga merancang dan sebaik-baik perancangan adalah apa yang Allah takdirkan untuk diri kita. Wallahua’lam.
           
           

USTAZ LAWAK VS PELAWAK


Fitrah manusia sukakan hiburan, tidak kiralah apa jenis bentuk hiburan sekalipun asalkan ianya mampu menggembirakan. Ianya dek kerana hiburan sememangnya tidak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia. Akan tetapi hiburan yang bagaimana dibenarkan dalam Islam? Adakah semua bentuk hiburan yang ada sekarang ini mengikut lunas-lunas Islam? Ah! bosanlah itu tidak boleh, ini tidak boleh leter seorang remaja bila ditegur berhibur bersama teman-teman oleh ibunya. Bosan? punca manusia mencari hiburan yang kadangkala terjerumus ke arah maksiat. Dimana silapnya, adakah salah stesen televisyen yang kebanyakannya menayangkan program-program berbentuk hiburan semata-mata? Lambakan program hiburan sememangnya tidak boleh dinafikan. Macam-macam program sama ada berbentuk nyanyian, lakonan mahupun lawak. 

Lawak? semua orang sukakan lawak, hati akan gembira bila mendengar lawak. Tapi, adakah lawak yang didengar itu bermanfaat ataupun sekadar suka-suka.  Kenapa orang kita seringkali menggunakan alasan untuk suka-suka? Rasulullah s.a.w juga ada bergurau dengan para sahabat tetapi ada inputnya, bukannnya suka-suka. Tetapi pada hari ini pelawak rela untuk berlakon menjadi seorang lelaki lembut, memakai kostum dan meniru gaya orang lain semata-mata untuk menyuruh penonton bergelak ketawa. Katanya tidak mengapa, untuk suka-suka sahaja, bukannya ada niat lain. “Alah, tak leh gurau, duduk pulau” kata seorang pelawak. Apa yang menjadi persoalan kenapa masyarakat lebih memilih untuk hadir ke program lawak berbanding ceramah-ceramah di masjid? Mungkin sahaja bosan mendengar ceramah ustaz-ustaz yang langsung tidak ada lawaknya, membosankan ke ustaz-ustaz yang berceramah ni?


            Ustaz lawak? itulah yang menjadi bualan masyarakat hari ini. Berpusu-pusu hadir ke ceramahnya sebab lain dari ustaz lain. Lawaknya menjadi dan ada manfaat yang boleh diperolehi, sehinggakan malam tahun baru disambut bersama ustaz lawak dengan mendengar ceramah yang disampaikan. Tetapi mengapa ceramah-ceramah yang disampaikan tidak sekalipun ditayangkan dalam mana-mana siaran televisyen? Mengapa fikiran masyarakat masih dijamu dengan program-program hiburan yang tidak ada manfaatnya. Tidak cukup lawakkah ustaz itu berbanding peserta-peserta program lawak. Sehinggakan pada satu tahap ada pihak yang mengkritik lawak yang dilakukan oleh ustaz dek kerana ada berkaitan dengan mana-mana individu yang mempunyai pengaruh. Tetapi mengapa lawak yang dilakukan oleh pelawak yang kadangkala meniru ataupun mengejek cara seseorang individu tidak pula ditegur? Apa sebenarnya yang ada dalam pemikiran masyarakat kita sebenarnya? Tepuk dada, tanya iman sama ada adakah kita dari kalangan orang yang suka mendengar lawak yang bermanfaat ataupun lawak suka-suka.

RILEKS LA, ESOK ADA LAGI..


Di dalam kehidupan kita, sering kali berlaku penangguhan demi penangguhan yang kita lakukan. Sebagai contoh, solat..berapa peratus dalam kalangan umat Islam segera menunaikan solat apabila azan berkumandang dan memanggil-manggil. Seruan Ilahi tidak menjadi hal yang penting berbanding hal-hal keduniaan yang dirasakan memerlukan lebih komitmen, sehinggalah wujud di dalam diri tidak mengapa esok kan masih ada. Esok? apa maksud sebenar bagi istilah esok? Apa yang pasti esok tidak akan pernah habis, apabila tamatnya hari ini, akan muncul pula esok. Akan tetapi mengapa manusia begitu yakin akan munculnya hari esok bagi diri masing-masing.


            Tidak ada seorang pun dari kalangan manusia yang diberi lessen bahawa mereka akan hidup sehingga hari esok. Kemungkinan ajal akan menjemput pada hari ini begitu besar bukan? Tetapi mengapa esok juga yang harus difikir, dengan itu penangguhan demi penangguhan terus berlaku tanpa penamat. Sehinggalah pada satu tahap penangguhan yang tidak sepatutnya berlaku iaitu penangguhan untuk bertaubat dari kesilapan lalu, ini kerana esok kan masih ada. Jika ditanya siapa yang mampu memberi jaminan bahawa esok masih ada di muka bumi ini? Ya! esok akan muncul jika dunia belum kiamat, tapi kita belum tentu wujud lagi pada hari esok. Betapa terbatasnya pemikiran kita, banyak yang kita tidak tahu tapi mengapa berlagak seperti kita yang mengawal segala-galanya yang berkaitan dengan kehidupan kita. 

            Mengapa tidak persembahkan yang terbaik untuk hari ini, saat ini dan tika ini di kala nyawa masih diberi pinjam oleh Yang Maha Esa. Kontrak nyawa ini tidak diketahui tarikh tamatnya, tapi yang pasti semakin hari semakin hampir, sedarlah! Maka persembahkanlah ibadat yang terbaik untuk hari ini, kerana mungkin esok kita sudah berada di alam lain. Jangan ditangguh-tangguh untuk melakukan kebaikan mahupun ketaatan kepadaNya. Hargailah hari ini dengan sebaiknya, jadikanlah hari ini hari yang terbaik untuk diri kita. Jika semalam kita terleka, terbuai dan tergelincir dari landasan yang benar, hari ini masih punya waktu untuk bertaubat. Jangan ditunggu kemunculan esok, hiduplah untuk hari ini, hari yang sedang kita lalui, hari yang penuh dengan kenyataan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: 

“Telah hampir datangnya janji yang telah ditetapkan oleh Allah maka janganlah kamu minta disegerakan.” – Surah An-Nahl :1-
           
Esok adalah satu khayalan yang mana belum pasti bagaimana keadaannya. Percayalah, di dalam kehidupan kita seharian banyak yang berlaku perkara di luar jangkaan daripada apa yang kita jangkakan. Mungkin sahaja esok bakal menjadi hari yang paling kita tidak gemari dan tidak berlaku seperti yang kita jangkakan. Berhentilah dari mengejar khayalan, hadapilah kenyataan dan jangan dikenang hari semalam yang sudah menjadi kenangan. Orang yang berjaya adalah mereka yang tidak ada istilah tunggu, tangguh dan tidak apa di dalam melaksanakan sesuatu. Segeralah hadir apabila azan menyeru, segeralah bertaubat ketika masih punya kesempatan. Ini kerana malaikat jibril tidak akan menangguh masa walaupun sesaat apabila waktunya telah tiba untuk kita tinggalkan dunia ini buat selama-lamanya.