Di dalam kehidupan kita, sering kali berlaku penangguhan demi penangguhan yang kita lakukan. Sebagai contoh, solat..berapa peratus dalam kalangan umat Islam segera menunaikan solat apabila azan berkumandang dan memanggil-manggil. Seruan Ilahi tidak menjadi hal yang penting berbanding hal-hal keduniaan yang dirasakan memerlukan lebih komitmen, sehinggalah wujud di dalam diri tidak mengapa esok kan masih ada. Esok? apa maksud sebenar bagi istilah esok? Apa yang pasti esok tidak akan pernah habis, apabila tamatnya hari ini, akan muncul pula esok. Akan tetapi mengapa manusia begitu yakin akan munculnya hari esok bagi diri masing-masing.
Tidak ada seorang pun dari kalangan manusia yang diberi lessen bahawa mereka akan hidup sehingga hari esok. Kemungkinan ajal akan menjemput pada hari ini begitu besar bukan? Tetapi mengapa esok juga yang harus difikir, dengan itu penangguhan demi penangguhan terus berlaku tanpa penamat. Sehinggalah pada satu tahap penangguhan yang tidak sepatutnya berlaku iaitu penangguhan untuk bertaubat dari kesilapan lalu, ini kerana esok kan masih ada. Jika ditanya siapa yang mampu memberi jaminan bahawa esok masih ada di muka bumi ini? Ya! esok akan muncul jika dunia belum kiamat, tapi kita belum tentu wujud lagi pada hari esok. Betapa terbatasnya pemikiran kita, banyak yang kita tidak tahu tapi mengapa berlagak seperti kita yang mengawal segala-galanya yang berkaitan dengan kehidupan kita.
Mengapa tidak persembahkan yang terbaik untuk hari ini, saat ini dan tika ini di kala nyawa masih diberi pinjam oleh Yang Maha Esa. Kontrak nyawa ini tidak diketahui tarikh tamatnya, tapi yang pasti semakin hari semakin hampir, sedarlah! Maka persembahkanlah ibadat yang terbaik untuk hari ini, kerana mungkin esok kita sudah berada di alam lain. Jangan ditangguh-tangguh untuk melakukan kebaikan mahupun ketaatan kepadaNya. Hargailah hari ini dengan sebaiknya, jadikanlah hari ini hari yang terbaik untuk diri kita. Jika semalam kita terleka, terbuai dan tergelincir dari landasan yang benar, hari ini masih punya waktu untuk bertaubat. Jangan ditunggu kemunculan esok, hiduplah untuk hari ini, hari yang sedang kita lalui, hari yang penuh dengan kenyataan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Telah hampir datangnya janji yang telah ditetapkan oleh Allah maka janganlah kamu minta disegerakan.” – Surah An-Nahl :1-
Esok adalah satu khayalan yang mana belum pasti bagaimana keadaannya. Percayalah, di dalam kehidupan kita seharian banyak yang berlaku perkara di luar jangkaan daripada apa yang kita jangkakan. Mungkin sahaja esok bakal menjadi hari yang paling kita tidak gemari dan tidak berlaku seperti yang kita jangkakan. Berhentilah dari mengejar khayalan, hadapilah kenyataan dan jangan dikenang hari semalam yang sudah menjadi kenangan. Orang yang berjaya adalah mereka yang tidak ada istilah tunggu, tangguh dan tidak apa di dalam melaksanakan sesuatu. Segeralah hadir apabila azan menyeru, segeralah bertaubat ketika masih punya kesempatan. Ini kerana malaikat jibril tidak akan menangguh masa walaupun sesaat apabila waktunya telah tiba untuk kita tinggalkan dunia ini buat selama-lamanya.
No comments:
Post a Comment