Thursday, 5 January 2012

USTAZ LAWAK VS PELAWAK


Fitrah manusia sukakan hiburan, tidak kiralah apa jenis bentuk hiburan sekalipun asalkan ianya mampu menggembirakan. Ianya dek kerana hiburan sememangnya tidak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia. Akan tetapi hiburan yang bagaimana dibenarkan dalam Islam? Adakah semua bentuk hiburan yang ada sekarang ini mengikut lunas-lunas Islam? Ah! bosanlah itu tidak boleh, ini tidak boleh leter seorang remaja bila ditegur berhibur bersama teman-teman oleh ibunya. Bosan? punca manusia mencari hiburan yang kadangkala terjerumus ke arah maksiat. Dimana silapnya, adakah salah stesen televisyen yang kebanyakannya menayangkan program-program berbentuk hiburan semata-mata? Lambakan program hiburan sememangnya tidak boleh dinafikan. Macam-macam program sama ada berbentuk nyanyian, lakonan mahupun lawak. 

Lawak? semua orang sukakan lawak, hati akan gembira bila mendengar lawak. Tapi, adakah lawak yang didengar itu bermanfaat ataupun sekadar suka-suka.  Kenapa orang kita seringkali menggunakan alasan untuk suka-suka? Rasulullah s.a.w juga ada bergurau dengan para sahabat tetapi ada inputnya, bukannnya suka-suka. Tetapi pada hari ini pelawak rela untuk berlakon menjadi seorang lelaki lembut, memakai kostum dan meniru gaya orang lain semata-mata untuk menyuruh penonton bergelak ketawa. Katanya tidak mengapa, untuk suka-suka sahaja, bukannya ada niat lain. “Alah, tak leh gurau, duduk pulau” kata seorang pelawak. Apa yang menjadi persoalan kenapa masyarakat lebih memilih untuk hadir ke program lawak berbanding ceramah-ceramah di masjid? Mungkin sahaja bosan mendengar ceramah ustaz-ustaz yang langsung tidak ada lawaknya, membosankan ke ustaz-ustaz yang berceramah ni?


            Ustaz lawak? itulah yang menjadi bualan masyarakat hari ini. Berpusu-pusu hadir ke ceramahnya sebab lain dari ustaz lain. Lawaknya menjadi dan ada manfaat yang boleh diperolehi, sehinggakan malam tahun baru disambut bersama ustaz lawak dengan mendengar ceramah yang disampaikan. Tetapi mengapa ceramah-ceramah yang disampaikan tidak sekalipun ditayangkan dalam mana-mana siaran televisyen? Mengapa fikiran masyarakat masih dijamu dengan program-program hiburan yang tidak ada manfaatnya. Tidak cukup lawakkah ustaz itu berbanding peserta-peserta program lawak. Sehinggakan pada satu tahap ada pihak yang mengkritik lawak yang dilakukan oleh ustaz dek kerana ada berkaitan dengan mana-mana individu yang mempunyai pengaruh. Tetapi mengapa lawak yang dilakukan oleh pelawak yang kadangkala meniru ataupun mengejek cara seseorang individu tidak pula ditegur? Apa sebenarnya yang ada dalam pemikiran masyarakat kita sebenarnya? Tepuk dada, tanya iman sama ada adakah kita dari kalangan orang yang suka mendengar lawak yang bermanfaat ataupun lawak suka-suka.

No comments:

Post a Comment